Cinta Penunggu Gunung


Salam ke atas keturunan Mala, bangsa gunung, suku yang hilang. Tulisan kali ini tentang kisah Ratu Bunian, penunggu puncak Gunung Ledang, Gusti Putri Raden Adjeng Retno Dumilah namanya a.k.a Puteri Gunung Ledang. Seorang Puteri dari Kerajaan Jawa yang melarikan diri kerana ketika itu Kerajaan Majapahit mulai jatuh akibat diserang Kerajaan Demak.

Sedikit petikan Jawa dari lagu Asmaradana dendangan Datin Sri Tiara, ost PGL yang berbunyi :

“Gegarane wong akrami, dudu bondo dudu rupo, amung ati pawitane..”

Maksudnya : “Rahsia pernikahan, bukan harta benda bukan rupa, hati yang menjadi pemacu-pemacu pernikahan diukur keamatannya..”

Kerajaan Majapahit sebuah kerajaan Hindu-Budha. Raden pula adalah nama dari keturunan Jawa. As always, sejarah Melayu ada banyak versi ada yang diakui kesahihannya, ada juga yang sudah bercampur mitos. Sekarang aku nak bandingkan beberapa versi.

Yang pertama, ramai menentang jalan cerita Filem PGL 2004 yang dibintangi Datin Sri Tiara dan Dato’ M. Nasir. Mereka mengatakan filem ini bercanggah dengan kisah yang tercatat dalam Sulalatus Salatin (Sejarah Melayu). Mengisahkan Hang Tuah hidup di zaman Sultan Mansor Shah (Sultan Melaka), di mana Sultan Melaka ketika itu memperisterikan anak Raja Majapahit berketurunan Jawa. Baginda menikahinya secara terpaksa kerana ingin menjaga hubungan baik antara Melaka dan Majapahit. Baginda juga menitahkan Hang Tuah untuk meminang Tun Teja.

Yang kedua, cerita turun-temurun dari datuk nenek kita dan tercatat dalam Hikayat Hang Tuah. Hampir sama dengan jalan cerita dalam filem. Di mana Sultan Mahmud Shah ketika itu memerintah Melaka, baginda menitahkan Hang Tuah untuk meminang Puteri Gunung Ledang yang catik rupawan. Sedangkan Puteri tidak mencintai Sultan. Hatinya terpaut pada Hang Tuah. Tapi ketahuilah rakyat zaman dahulu sangat menyanjungi raja dan tidak sesekali pun berani menderhaka kepada Sultan. Maka Hang Tuah hanya memendamkan rasa hati dan cintanya. Dia akur dengan kehendak Sultannya. Hang Tuah pun bersama Tun Mamat dan orang-orang istana memanjat Gunung Ledang.

Antara syarat-syarat yang dipinta oleh Puteri Gunung Ledang kepada Sultan Melaka :

7 kesemuanya –

1.  Air mata dara yang tidak berdarah, 7 tempayan banyaknya. (7 tempayan air mata anak dara sunti)

2.  Pinang bukan kawin tidak tua merah darahnya, 7 tempayan banyaknya. (7 tempayan air pinang muda)

3.  Merangkak bebas di dataran, darah juga kehendaknya, sifatnya, 7 dulang banyaknya. (7 dulang hati hama)

4.  Terbang bebas di udara, darah juga kehendaknya, sifatnya, 7 dulang banyaknya. (7 dulang hati nyamuk)

5.  Darah putih rakyat untuk menambat darah kuning dari tapak ke takhta. (jambatan perak dari Melaka ke puncak Gunung Ledang)

6.  Darah merah rakyat untuk menambat darah kuning dari tapak ke takhta. (jambatan emas dari Melaka ke puncak Gunung Ledang)

7.  Darah seguntang tetap mengalir, badan bersilih menanti, sebatil. (darah putera mahkota Melaka, Raja Ahmad semangkuk)

Begitulah syarat-syarat peminangan. Sangat rumit dan sukar untuk dipenuhi.

Kau perlu tahu helah Sang Puteri yang boleh merubah wajah menjadi seorang yang tua bangka, bongkok dan bertongkat. Dia digelar ‘Nenek Kebayan’ oleh penduduk. Para pendaki juga kerap menjumpainya. Dan kau perlu tahu yang Hang Tuah sangat digilai ramai wanita dek ketampanan wajahnya dan kehebatan ilmu persilatannya. Selain Puteri Gunung Ledang, Tun Teja dan Puteri Hang Li Po juga jatuh hati pada Hang Tuah. Tetapi cinta mereka tidak berbalas kerana semua wanita yang inginkan Hang Tuah, Sultan Melaka berkehendak memperisterikan mereka. Hang Tuah tidak mampu berbuat apa melainkan merelakan cinta yang tidak kesampaian dek taatnya kepada Sultan.

Begitulah serba sedikit kisah cinta yang tak kesampaian.

Tetapi hingga kini asal usul Puteri Gunung Ledang masih diragukan sama ada dia seorang manusia ataupun bunian. Pada pendapat aku pulak PGL memang manusia biasa seperti kita, cuma dia mempunyai ilmu untuk mengghaibkan diri dan kuasa yang boleh merubah rupa. Begitu tinggi ilmu mistik orang zaman dahulu.

Yang terkini ada juga berita tentang seorang lelaki yang mengatakan dia pernah berjumpa PGL dan menikahinya. Dia juga ada menggambarkan rupa paras PGL melalui lukisan.

Apa yang aku ingin highlight kan untuk post selepas ini, sebelum aku akhiri catatan kali ini adalah, percanggahan pendapat tentang bunian yang sebenar. Untuk tulisan yang akan datang aku akan ceritakan versi-versi yang menerangkan asal usul bangsa bunian dan perbezaan antara bunian asli dan jin yang menyamar sebagai bunian.

Nantikan catatan seterusnya mungkin berkisarkan tentang “Alam Zara atau Alam Kayangan”. Sehingga berjumpa lagi dalam kisah seterusnya.  

Comments

Popular posts from this blog

Di antara Langit dan Bumi

Ulek Mayang dan 7 Puteri

Bangsa Jin dan Bunian