Bangsa Jin dan Bunian


Salam ke atasmu. Tidak aku kenali dirimu, kau juga tidak mengenali aku. Tapi kita serupa, makhluk yang berjasad dan bernyawa. Kita menjalani hari yang sama, 24 jam sehari, 7 hari seminggu, berteduh di bawah langit yang sama, berbulan dan berbintang yang sama, menghela udara yang sama, tetap menyaksikan mentari yang satu. Tapi yang berbeza adalah antara kita dan 'mereka'.



'Mereka' hidup di dimensi yang berbeza. Di sini aku namakan ia misteri. Percayakah kau wujudnya kaum halus seperti jin, iblis dan bangsa bunian? Mereka wujud di sekeliling kita, tapi dunia kita dan mereka berbeza. Sebagai memetik kata-kata dalam kitab Al-Quran dan terjemahannya berbunyi : "He sees you, he and his tribe". Dia melihatmu, dia dan bangsanya. Tapi pandangan kita terbatas untuk melihat mereka.



Aku nak cerita beberapa kisah tentang mereka dan apa yang pernah generasi terdahulu seperti datuk nenek dan moyang kita mungkin pernah lalui.



Kisah 1 : Bunian

Pada zaman awal 50 an, arwah nenek sebelah mak aku ketika mudanya, hidup bersama suami dan anak-anak yang masih kecil di kampung. Bila tiba musim kenduri-kendara biasanya orang kampung akan bergotong-royong memasak lauk kenduri. Zaman serba kekurangan, manalah mampu beli cawan, mangkuk, pinggan dalam jumlah yang banyak kan. Jadi di sebuah surau di kampung ni lah nenek aku kata bunian ni sediakan pinggan mangkuk serba putih untuk kegunaan orang kampung. Orang-orang kampung boleh ambil pinjam, dan pulangkan semula dengan jumlah asal. Sekiranya terdapat pinggan yang retak atau pecah, dan kita gantikan dengan yang lain, mereka tak ambil malah mereka hanya ambil kepunyaan mereka sahaja. Baik hati sungguh kan?



Kisah 2 : Harimau Tunggangan

Harimau tunggangan adalah sejenis kenderaan tunggangan raja-raja zaman dulu, pengamal ilmu persilatan dan pengamal perubatan. Nama lainnya 'harimau ghaib’ atau ‘khadam harimau’. Harimau ini bukanlah harimau tulen, ia adalah jin yang menyerupai harimau. Selain ditunggang ia juga menjaga keselamatan tuannya. Selain itu, tuannya juga mempunyai kebolehan bersilat seperti harimau, gagah, tangkas, garang dan beberapa personaliti lain yang menjadi ciri-ciri khas kepada yang menuntut ilmu persilatan tersebut dan juga membantu tuannya dalam merawat pesakit. Jadi pembaca semua jangan hairanlah kalau orang dulu-dulu boleh migrate dari satu daerah ke satu daerah, dari satu negeri ke satu negeri, tanpa menaiki kereta kuda, kereta lembu, menunggang kuda ataupun mendayung sampan. Mereka tunggang harimau ghaib. 



Menurut abah aku, arwah datuknya salah seorang guru silat yang menuntut ilmu harimau ghaib ini dan dibawahnya ada beberapa orang anak murid yang turut mewarisi ilmu ini. Pada hari pemergian arwah, dia meminta anak muridnya membuat bacaan Yaasin di kuburnya selama 7 hari 7 malam untuk mengelakkan jenazahnya diheret oleh harimau ghaib ini dari kubur dan dibimbangi si mati akan bertukar menjadi seekor harimau seperti yang lainnya.



Datuk kepada abah aku ni penampilannya persis seekor harimau, muka bulat, duduk seperti kucing. Jadi korang boleh bayangkan macam mana. Jadi harimau ini menjadi pendamping tujuh keturunan. Masa abah aku kecil, setiap kali dia masuk hutan untuk berburu, dia selalu rasa seolah-olah diekori, dan dia sukar untuk jumpa binatang-binatang buruan kerana pendamping yang seekor ini selalu di belakangnya. Burung-burung, pelanduk, kijang dan landak semua bersembunyi. Ditakdirkan Tuhan satu hari, semasa masuk hutan bersama ayahnya (datuk aku) dia ternampak jelas seekor harimau di belakang mereka. Dengan terkejutnya sampai meloncat berpaut pada ayahnya (datuk aku). Arwah datuk aku kata pada abah : “jangan takut, dia tak ganggu, dia cuma temankan kita.”



Walaupun kita tidak menuntut dan mewarisi ilmu itu, ia tetap mendampingi anak-anak cucunya di mana pun mereka berada. Keturunannya akan mewarisi sifat pembengis, baran, berani, berkarisma, adil, kebolehan membaca fikiran (tidak semua), ditakuti pihak lawan, naluri yang 9/10 benar dan boleh dipercayai. Naluri yang kuat ni ada pada aku, sejak kecil, tekaan dan sangkaan aku selalunya tepat. Walau aku tidak mengenali orang itu dengan rapat, aku mudah mengesan sesuatu perkara buruk yang menimpa seseorang. Kejadian seperti curi yang berlaku di sekeliling aku, aku dapat meneka dengan tepat siapa pelakunya. Kes buang bayi di sekolah juga aku dapat tahu siapa dalangnya.



Datuk kepada arwah nenek sebelah mak aku, dahulu memegang jawatan sebagai salah seorang pembesar istana di bawah pemerintahan seorang Yam Tuan. Yang Mulia Tuanku ketika itu mempunyai seekor harimau tunggangan dan dijaga oleh pengawal-pengawal istana, ramai rakyat jelata sekitar istana yang melihat kelibat sang rimau mengekori pengawal keluar masuk istana. Ia juga boleh berubah menjadi seekor kucing, duduk dipangkuan dan didukung pembesar-pembesar istana.



Ciri-ciri manusia harimau :

-   Jika berhadapan dengan manusia biasa dia tidak memandang wajah atau kening kita. Tak tahu kenapa tapi ini yang selalu aku alami. Bila bercakap aku akan pandang arah lain, tunduk ke bawah, pandang kiri atau kanannya.

-   Setentang puncak hidungnya ke bawah atau pada muncungnya tidak ada berbendar, hanya licin saja.

-   Memakai baju hitam atau sejenis kain batik.

-   Lelaki dan perempuan berkumis.

-   Berkelakuan aneh disetiap tempat seperti menggunakan hidungnya untuk mencium sesuatu dan mata selalu memandang ke atas. Kalau yang ni aku selalu. Nak makan nasi cium nasi, dah ambil gulai cium gulai, kadang-kadang benda yang tak ada bau pun aku try hidu.

-   Pembaca fikiran orang. Dia boleh tahu sama ada lawannya berkata jujur atau bohong. Perkara paling aku minat, sesiapa pun aku scan. So aku tahu kau suka siapa, kau benci siapa.



Kisah 3 : Puteri Gunung Ledang

Menurut sumber-sumber dari blog lain yang aku baca, macam-macam versi ada. Ada yang kata puteri ni asal dari seberang, ada yang kata puteri ni bunian boleh ghaib. Semua ada kemungkinan. PGL, cinta hati Hang Tuah dan Sultan Melaka. Ura-ura mengatakan dia berketurunan jawa. Cantik tapi kau belum jumpa wajah asalnya. Seorang tua, bongkok. Orang-orang sesat memanggilnya ‘Nenek Kebayan’. Puteri dan nenek kebayan adalah orang yang sama.



Kisah 4 : Ulek Mayang

Tujuh Puteri. Ada kaitannya dengan Puteri Gunung Ledang. Ada sumber mengatakan Tujuh Puteri ini merupakan dayang pengasuh PGL. Pada satu malam 2017, bulan berapa aku tak ingat. Aku buat research baca pasal asal usul PGL ni, puncanya sebab aku berkenan gila lagu yang Dato’ Siti duet dengan Faizal Tahir masa konsert beliau, yang bertajuk ‘Bagaikan Sakti’ ost Filem PGL. Lagu cinta Hang Tuah dan PGL, asalnya berduet dengan Dato’ M.Nasir. Tengah khusyuk baca sampai tertidur. Aku mimpi ada kat tempat cantik, gunung. Penuh dengan bunga-bunga tumbuh. Ada gua, tapi yang peliknya dalam mimpi tu aku dalam umur 5-6 tahun. Sampai je dalam gua ada pesta keramaian, majlis tari menari berlangsung, rata-rata yang ada kat situ muda-mudi yang tampan dan jelita. Tarian melayu jawa kalau tengok pada gerakan badan, pakaian yang dikenakan masing-masing berwarna cream, kuning, putih, warna yang terang dan cerah.Lagu yang didendangkan “ulek mayang di ulek.. ulek dengan tuannya puteri..puteri satu berbaju serong..” aku dengan tak sedarnya ikut nyanyi sekali, meriah la katakan. Hampir baris lagu “Puteri tujuh..” tiba-tiba petir berdentum kuat, angin ribut bawa hujan lebat tersentak aku, terjaga dalam ketakutan. Sampai pagi aku tak lena tidur. Mungkin kalau aku habiskan nyanyian mungkin aku akan sesat di alam mereka. Tinggal jasad je yang tidur di rumah.



Kisah 4 : Dunia Bunian

Bunian berasal dari zaman Nabi Allah Sulaiman (sorry kalau info tak tepat) aku dapat dari blog lain. Isterinya Ratu Balqish ialah bunian. Bapanya manusia dan ibunya jin. Bunian sekarang adalah keturunan Balqish. Mereka terdiri dari puak Sabt dan Thyu dan mereka Islam. Wilayah atau kerajaan mereka di dalam hutan, di tepi sungai, kaki gunung, puncak gunung, batu-batuan besar yang berusia ratusan tahun. Apa yang aku nak tekankan kat sini adalah ‘peredaran masa’ alam bunian dan dunia nyata kita.



Kalau kita jalani hidup 24 jam sehari, tapi dunia mereka tidak. Korang mesti selalu dengar cerita budak hilang kan? Menurut pengalaman mereka, mereka sampai di satu tempat yang asing, dilayan dengan baik, diberi makan dan minum. Tapi hakikatnya bila dijumpai dalam hutan, mereka berkaki ayam, baju compang-camping, kurus kering, tak bermaya dan comot.



Berdasarkan cerita-cerita yang aku dengar ni ada perbandingan yang boleh kita rumuskan. Kata mangsa, dia pergi sekejap je dan hairan kenapa semua ahli keluarganya risau. Padahal mangsa dah hilang berminggu-minggu malah ada yang berbulan-bulan. Di sini kita tahu di alam bunian masa berlalu tersangat perlahan hinggakan sehari di sana bersaman berminggu-minggu di dunia kita. Selain itu, jangka hayat mereka juga panjang. Bangsa jin boleh hidup mencecah ratusan tahun.



Di dusun durian aku, jauh dari kediaman orang, terdapat sebuah kerajaan bunian di situ ada sebuah batu besar sepanjang lebih kurang 8 kaki, lebar 6 kaki, putih dan berlumut. Arwah nenek aku sebelah abah juga mempunyai kenalan dari kalangan bunian. Mereka juga melawat Makkah dan mengerjakan umrah katanya. Sepanjang abah aku membersihkan kebun, bercucuk tanam, dia kerap tercium bau wangian seperti sabun mandi, bau masakan seperti kari dan tumis muncul dari kawasan batu itu. Tiada rumah yang berdekatan.



Di sebuah Universiti Awam di daerah aku tinggal, terjadi satu kejadian staf menjumpai ikan hidup di dalam singki sebuah makmal. Setelah bertalu-talu kejadian aneh yang terjadi tetapi dirahsiakan oleh pihak U, mereka menggunakan khidmat seorang pengamal perubatan untuk memindahkan masyarakat bunian tersebut. Mereka dipindahkan menaiki bas U, driver bas tersebut sahabat abah aku. Katanya dia hanya berdua dengan bomoh itu, tak nampak apa pun tetapi dia pandu bas tu terasa berat yang amat. Mereka dipindahkan ke sebuah pulau dalam negeri aku.



Sampai sini saja catatan aku buat masa ni, ada banyak lagi misteri-misteri yang belum tercatat yang pernah aku alami dan orang-orang terdekat dengan aku alami. Semoga bertemu lagi pada kisah seterusnya.





Comments

  1. As salam sy ingin mengenali saudara...boleh emailkan di cjajib82@gmail.com...di situ nanti kita akan berhubung melalui telepon nanti ..in sha Allah

    ReplyDelete
  2. As salam sy ingin mengenali saudara...boleh emailkan di cjajib82@gmail.com...di situ nanti kita akan berhubung melalui telepon nanti ..in sha Allah

    ReplyDelete

Post a Comment

Popular posts from this blog

Ulek Mayang dan 7 Puteri

Di antara Langit dan Bumi