Di antara Langit dan Bumi


Salam ke atas mu, yang berada di antara langit dan bumi. Perkongsian kali ini adalah mengenai “Alam Zara” atau erti kata lainnya Kayangan, lokasi kerajaan bunian yang diakui sahih. Info serba sedikit aku ambil dari keterangan Bentara Tujuh.

Alam zara terletak di antara langit dan bumi, tiada cahaya matahari dan mempunyai kelembapan yang tinggi dan ia disinari dengan cahaya bunian itu sendiri. Bunian dikatakan bersifat cahaya sedangkan jin, iblis dan syaitan pula bersifat api. Sejauh mana kebenarannya? Aku akan huraikan beberapa perbandingannya di sini.

Sewaktu aku kecil, ulangtahun aku yang ke-4. Aku dihadiahkan sebuah buku cerita yang bertajuk “Bumi dan Langit”. Mengisahkan seorang anak muda kampung yang terjumpa sekumpulan wanita bersayap bersiram di anak air sebuah denai. Setelah selesai bersiram, mereka pun mengibaskan sayap dan terbang kembali ke langit. Dan salah seorang daripada mereka jatuh cinta pada pemuda itu. Maka terjadilah perkahwinan di antara manusia dan orang kayangan.

Menurut pemahaman orang Melayu kita, lokasi bunian atau makhluk halus ini di hutan, di tepi sungai dan di gunung. Kenyataan lain menyanggah dan mengatakan bahawa mereka itu bukanlah dari kalangan bunian sebenar, sebaliknya mereka adalah bangsa jin, jin Ifrit yang menyamar sebagai bunian dengan tujuan untuk menyesatkan. Mana tak nya, pernah terjadi kes arwah pak cik aku berhenti makan di tepi jalan lama, di tengah-tengah hutan. Katanya dia dan kawannya ternampak sebuah gerai makan di situ yang diterangi lampu kalimantang dan masih beroperasi. Mereka pun singgah untuk mengisi perut. Sesudah selesai, mereka pun melangkah keluar dari gerai. Setelah masuk ke dalam kereta nak sambung perjalanan, arwah pak cik aku pun terpandang ke arah gerai tadi yang tiba-tiba ghaib. Dia pun meliarkan pandangan ke sekeliling, ternyata tiada apa pun di situ, hutan semata-mata. Dengan cemasnya rakannya pun pecut laju-laju meninggalkan kawasan itu. Keeseokannya, dua-dua pun demam teruk sampai masuk hospital. Jadi benarlah mereka ini cuba memperdaya dan menyesatkan.

Berbalik pada buku cerita “Bumi dan Langit”, ia menggambarkan orang kayangan ini bersayap dan serba putih pakaiannya. Kalau makhluk bersayap ni kita panggil pari-pari kan? Selain itu berbalik pada kenyataan Bentara Tujuh, tambahnya lagi, orang-orang kayangan ini menghabiskan masanya berperang dengan jin dan iblis. Pakaian mereka dilengkapi perisai dan mahkota di atas kepala mereka berbentuk seperti tanduk yang tumbuh dan melekat, tidak boleh tanggal atau diberikan kepada sesiapa seperti dakwaan sesetengah orang yang mengatakan mereka pernah terima mahkota, cincin, batu permata dan macam-macam lagi harta dari bunian.

Mereka seperti kita juga hidup bermasyarakat, makan dan minum, berkahwin dan mempunyai anak. Mereka sering membantu manusia membuka jalan untuk kita keluar dari kesusahan secara senyap-senyap bukan terang-terangan, tetapi tidak sesekali memberikan hartanya kepada kita sesuka hati. Itu mustahil.

Persoalannya adalah, benarkah terjadi perkahwinan dua dunia berlainan ini? Bagi aku ia bukanlah suatu yang mustahil. Aku pernah menonton dokumentari tentang perkahwinan manusia dengan ‘roh’. Terjadi di Taiwan. Kisahnya seorang lelaki bujang berbangsa Cina, pernah didatangi seorang wanita muda di dalam mimpinya. Tujuannya bukanlah untuk meminta tolong atau apa, kehadirannya cuma untuk bersahabat dengan si lelaki. Mereka telah bercinta hampir 6 tahun dan kini telah sah menjadi suami isteri. Lelaki itu menceritakan isterinya (roh itu) telah meninggal dunia beberapa tahun lalu dalam sebuah kebakaran tempat tinggalnya, tiada yang selamat dalam kejadian itu, seluruh ahli keluarganya telah terkorban.

Pada hari sebelum pernikahan mereka. Lelaki itu dan sahabatnya serta isteri kepada sahabatnya telah mendapat mimpi yang sama pada malam itu. Di dalam mimpi itu kata sahabatnya, dia dan isteri mewakilkan bagi pihak kawannya (lelaki itu) untuk meminang gadis itu (roh) di rumah mereka (rumah keluarga roh itu) dan mereka telah bersetuju dan merestuinya. Kata lelaki itu, semasa waktu makan bersama keluarga dia akan mengosongkan satu tempat duduk, menyediakan semangkuk nasi, secawan air dan chopstick untuk isteri rohnya.

Perkahwinan antara manusia dengan bunian juga pernah terjadi. Hasil perkahwinan tersebut lahir seorang ‘manusia hybrid’, bernama Puteri Nur. Ini pun aku terbaca dari blog lain. Kalau betul, betul lah eh. Kalau tipu, tipu lah.

Yang kes selebihnya kebanyakkan lelaki manusia menikahi wanita jin, yang disangkanya bunian. Daerah penempatannya area hutan tebal dan gunung. Juga sebaliknya perempuan manusia menikahi lelaki jin. Tapi jarang la. Sebab kalau anaknya lahir sekalipun, anaknya tak boleh hidup di dunia kita kerana sifatnya tidak sama seperti kita. Tapi aku pun pelik, Puteri Nur tu macam kita pulak. Hmm entah la Labuuu.

Dan yang selalu terjadi ‘bayi hilang dalam kandungan’ sebelum dilahirkan. Kalau nak ikut logik akal, boleh jadi ia diculik keluarga bapanya sendiri (keluarga jin) kerana dikhuatiri bayi tersebut tak boleh hidup di alam kita. Mereka ambil dan bela lah. Kalau ikut logik Science, tanya lah doktor, ok?

Sekian dahulu buat masa ini. Sehingga berjumpa lagi dalam kisah yang akan datang.

   

Comments

Popular posts from this blog

Ulek Mayang dan 7 Puteri

Bangsa Jin dan Bunian