Ulek Mayang dan 7 Puteri
Salam merentas dimensi. Tulisan kali ini adalah tentang Lagenda Ulek Mayang
dan Tujuh Puteri. Mitos atau benar?
Umum tahu yang Lagenda Ulek Mayang berasal dari Negeri Terengganu. Ulek
Mayang ni dikaitkan dengan semangat laut. Pada zaman dahulu, ketika
nelayan-nelayan belayar, kerap menemukan 7 Puteri bersaudara di lautan. Ada versi
yang mengatakan mereka (7 Puteri) menyerupai duyung, ada pula yang mengatakan
mereka ni persis puteri-puteri raja.
Rata-rata mengatakan 7 Puteri ini terkenal dalam bidang perubatan
tradisional. Mereka membantu bomoh untuk memulihkan penyakit. Bahkan sehingga
kini masih ramai pengamal perubatan tradisional yang menggunakan khidmat Puteri.
Semangat laut ini dalam erti kata mudahnya jembalang air. Banyak kes yang terjadi
seperti kanak-kanak yang lemas di laut, jasadnya hilang dan tak dikembalikan. Tapi
mereka sebaliknya. 7 Puteri ini terkenal dengan sifat mereka yang suka membantu
orang-orang yang sedang dilanda musibah dan memerlukan pertolongan.
Jadi di sini nampak perbezaan antara 7 Puteri dan semangat laut. Kisahnya
terjadi beratus tahun dahulu, ketika sekumpulan nelayan turun ke laut untuk
menangkap ikan. Sedang mereka di tengah laut tiba-tiba ribut kencang memukul
perahu mereka. Ombak yang kuat menghanyutkan mereka dan mereka lemas di lautan.
Beberapa ketika ribut semakin reda, dan tubuh para nelayan dihanyutkan ke
pantai. Seorang demi seorang nelayan tersedar kecuali seorang yang disangka
rakan-rakannya sudah mati tapi masih bernyawa cuma tidak sedarkan diri.
Rakan-rakannya mengesyaki cuma jasadnya yang terdampar dan rohnya berada di
alam lain. Lalu mereka meminta bantuan bomoh untuk kembalikan semangat rakan
mereka ke jasadnya semula. Bomoh memulakan bacaan mantera dan apabila diseru
nelayan itu sedang dipukau oleh semangat laut. Nelayan itu terperangkap dan
merayau-rayau di alam bunian.
Hal ini terjadi kerana seorang puteri bunian itu cuba menduga para nelayan
tapi hanya seorang yang terpikat. Bomoh itu cuba membawa semangat nelayan
kembali ke alam nyata dengan pertolongan puteri. Puteri itu memanggil seorang
kakaknya. Di tengah-tengah pertarungan itu dua lagi kakaknya datang untuk
menjampi, lalu muncul lagi dua orang. Pertarungan semakin sengit menggegarkan
bumi dan ombak semakin hebat memukul pantai. Apabila keadaan semakin parah,
muncullah Puteri yang ke-7 yang lebih cantik dan rupawan, kuat dan bijak. Bomoh
itu pun merayu agar dikembalikan semangat nelayan itu. Puteri sulung sedar akan
kenakalan adik-adiknya yang malampau itu lalu menghentikan pergelutan.
“Ku tahu asal usulmu..”
“Yang darat balik ke darat..”
“Yang laut balik ke laut..”
Bomoh itu mempersembhkan nasi kuning kepada 7 Puteri sebagai tanda terima
kasih. Dan nelayan itu kembali sedar.
Hingga kini semangat 7 Puteri masih menghantui masyarakat tatkala terdengar
atau mendendangkan lagu tersebut dan mempersembahkan tariannya. Banyak kisah
yang kita dengar rasukan semasa persembahan tarian Ulek Mayang. Fenomena seperti
ribut petir dan hujan lebat sewaktu berlangsung persembahan kerap terjadi. Bahkan
aku sendiri juga merasai pengalaman ini dua kali.
Kali pertama semasa bermimpi, kisahnya aku catat dalam post sebelum ni “Dunia
jin dan bunian”. Tersedar dari mimpi tepat jam 2.00 am. Ketika itu petir
berdentum sekuatnya, angin kencang membawa hujan lebat. Takutnya ketika itu
hanya Tuhan yang tahu. Laju jantung aku bergocang macam nak tercabut. Mana taknya,
tengah asyik menyanyi dalam mimpi Puteri 1 hingga Puteri 7. Nasib baik tak
habiskan bait-bait yang last.
Kali kedua aku alami lepas aku download lagu ni dekat Joox. Aku pun sumbat
earphone. Tenang je rasa, terlebih semangat pulak bila dengar alunan muzik tu. Sampai
aku tak sedar tangan pun naik melenggokkan gaya tak ubah macam scene Hang Tuah
menari dengan Puteri Gunung Ledang dalam filem tu. Tapi agak keras sikit lah
gaya aku. Kepala pun lentok ke kanan lepastu ke kiri. Pertengahan lagu, tangan
aku dah macam gaya orang nak bersilat. Nasib lah lagu tak panjang, habis je
lagu aku pun tersentak pelik. Betul ke aku buat semua tu tadi? Kesan dari
kejadian tu seminggu aku tidur pasang lampu sampai pagi HA HA HA. Aku ni pun
taklah berani sangat taklah takut sangat. Sedang-sedang je.
Lagu ni pulak aku dengar setiap malam tak bosan-bosan. Sampai sekarang
masih dengar. Dia buatkan kita lebih bersemangat untuk buat sesuatu yang kita
minat. Malas boleh jadi rajin lah cerita dia.
Jadi sampai sini je pengalaman aku dengan Ulek Mayang. Nanti aku sambung
lagi dengan kisah yang lain. Sehingga berjumpa lagi dalam tulisan seterusnya.
Comments
Post a Comment